Faktor dalaman yang mempengaruhi amalan penggunaan lestari dalam kalangan pelajar tingkatan empat di Daerah Kluang, Malaysia

Amalan penggunaan lestari kurang dipraktikkan oleh pelajar dalam usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Walaupun wujud faktor sosio-demografi iaitu pendidikan alam sekitar dan faktor luaran/situasi seperti kemudahan kitar semula,ceramah, kempen dan media massa, ia kurang memberi kesan t...

Full description

Saved in:
Bibliographic Details
Main Author: Sanacey, Saravanan
Format: Thesis
Language:English
Published: 2013
Subjects:
Online Access:http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/41247/1/FPAS%202013%2011R.pdf
Tags: Add Tag
No Tags, Be the first to tag this record!
Description
Summary:Amalan penggunaan lestari kurang dipraktikkan oleh pelajar dalam usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Walaupun wujud faktor sosio-demografi iaitu pendidikan alam sekitar dan faktor luaran/situasi seperti kemudahan kitar semula,ceramah, kempen dan media massa, ia kurang memberi kesan terhadap tahap amalan penggunaan lestari. Kajian-kajian sebelum ini mendapati faktor-faktor dalaman mempunyai hubungan dan mempengaruhi tingkah laku mesra alam, justeru kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap amalan penggunaan lestari dan menentukan hubungan antara faktor-faktor dalaman dengan amalan penggunaan lestari. Kajian ini juga mengenal pasti faktor-faktor dalaman yang mempengaruhi amalan penggunaan lestari dalam kalangan pelajar tingkatan empat. Kajian ini berbentuk kuantitatif yang menggunakan reka bentuk kajian tinjauan jenis rentas silang. Responden kajian terdiri daripada 354 orang pelajar tingkatan empat daripada 10 buah sekolah menengah daerah Kluang, Johor. Responden ini diperoleh dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata. Soal selidik yang digunakan dalam kajian ini telah diadaptasi dan diubahsuai oleh penyelidik daripada beberapa kajian lepas yang mempunyai nilai kebolehpercayaan melebihi 0.6. Data yang diperoleh kemudiannya dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif dan statistik inferensi digunakan adalah ujian-t,Korelasi Pearson dan analisis Regresi berganda. Dalam proses ini, perisian SPSS versi 16 digunakan untuk menganalisis data. Keputusan kajian menunjukkan bahawa tahap faktor-faktor dalaman iaitu pengetahuan alam sekitar, sikap terhadap amalan penggunaan lestari, nilai terhadap alam sekitar dan afektif terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar berada pada tahap yang tinggi. Manakala motivasi terhadap amalan penggunaan lestari dan lokus kawalan terhadap alam sekitar pula berada pada tahap sederhana. Manakala keputusan analisis tahap amalan penggunaan lestari kajian menunjukkan 70.6% daripada pelajar mempunyai tahap amalan penggunaan lestari sederhana. Keputusan analisis ujian-t menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan tahap amalan penggunaan lestari berdasarkan aliran pendidikan (t=2.910, df=352, p<0.05). Tahap amalan penggunaan lestari pelajar aliran Sains lebih tinggi berbanding tahap amalan penggunaan lestari pelajar Sastera. Manakala keputusan analisis ujian-t juga menunjukkan bahawa tidak terdapat perbezaan signifikan tahap amalan penggunaan lestari berdasarkan jantina dan lokasi sekolah. Keputusan analisis korelasi Pearson pula menunjukkan wujudnya hubungan positif dan signifikan antara amalan penggunaan lestari dengan kesemua faktor dalaman iaitu lokus kawalan terhadap alam sekitar (r=0.302, p<0.01), nilai terhadap alam sekitar (r=0.301, p<0.01), motivasi terhadap amalan penggunaan lestari (r=0.282, p<0.01), afektif terhadap alam sekitar (r=0.32, p<0.01), sikap terhadap amalan penggunaan lestari (r=0.28, p<0.01) dan pengetahuan alam sekitar (r=0.155, p<0.01). Keputusan analisis Regresi Berganda menunjukkan dua faktor dalaman yang menyumbang secara signifikan amalan penggunaan lestari iaitu lokus kawalan terhadap alam sekitar dan nilai terhadap alam sekitar yang menerangkan sebanyak 12.6% (R2=.126) varians dalam amalan penggunaan lestari. Berdasarkan dapatan kajian ini, pelajar belum mencapai tahap amalan penggunaan lestari yang dijangkakan untuk membantu memelihara dan memulihara alam sekitar. Oleh itu, beberapa cadangan telah dikemukakan kepada pihak-pihak yang berkepentingan dengan pelajar bagi meningkatkan lagi amalan penggunaan lestari dalam kalangan pelajar termasuk merapatkan jurang nilai dan amalan dalam kalangan pelajar kerana pelajar merupakan warga alam dan entiti yang besar yang boleh membawa perubahan positif kepada alam sekitar.