Faktor personal, interpersonal dan kecenderungan berulang dalam kalangan bekas penagih dadah di Malaysia

Di Malaysia jumlah penagih dadah yang kembali berulang didapati semakin meningkat setiap tahun. Sungguhpun telah banyak usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan untuk memastikan penagih dadah tidak berulang selepas mereka menerima rawatan namun kadar peningkatan jumlah penagih dadah yang berulan...

Full description

Saved in:
Bibliographic Details
Main Author: Razali, Asbah
Format: Thesis
Language:English
Published: 2016
Subjects:
Online Access:http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/67349/1/FEM%202016%2028%20IR.pdf
Tags: Add Tag
No Tags, Be the first to tag this record!
Description
Summary:Di Malaysia jumlah penagih dadah yang kembali berulang didapati semakin meningkat setiap tahun. Sungguhpun telah banyak usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan untuk memastikan penagih dadah tidak berulang selepas mereka menerima rawatan namun kadar peningkatan jumlah penagih dadah yang berulang masih lagi berada pada tahap yang membimbangkan. Negara menanggung kos kerugian yang tinggi akibat daripada masalah ini seperti kos menyediakan kemudahan rawatan dan pemulihan, kos pengurusan program pencegahan dan kos bagi pemantauan oleh anggota penguatkuasaan. Kebiasaannya bekas penagih dadah yang telah tamat tempoh rawatan di pusat pemulihan mempunyai keazaman dan keyakinan yang tinggi mereka akan berjaya menghindari diri daripada terjebak semula ke kancah penagihan, namun tidak semua daripada mereka berjaya menghadapi tekanan dalam diri dan tekanan sosial selepas mereka keluar daripada pusat rawatan dan pemulihan. Sungguhpun pada hakikatnya mereka cuba untuk bertahan tetapi terdapat banyak faktor yang menyebabkan mereka menyerah kalah dan kembali menggambil dadah semula. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti sama ada terdapat perkaitan antara faktor personal iaitu daya tindak dan efikasi diri; faktor interpersonal iaitu sokongan keluarga, sokongan rakan-rakan dan sokongan masyarakat dengan kecenderungan berulang. Kajian ini juga bertujuan untuk menentukan faktor peramal kepada kecenderungan berulang dalam kalangan bekas penagih dadah dan mengenal pasti peranan efikasi diri sebagai faktor pengantara ke atas hubungan antara faktor daya tindak, faktor sokongan keluarga, faktor sokongan rakan-rakan dan faktor sokongan masyarakat ke atas kecenderungan berulang dalam kalangan bekas penagih dadah. Kajian ini melibatkan 242 orang bekas penagih dadah yang telah tamat tempoh rawatan dan pemulihan dengan menggunakan empat instrumen iaitu Inventory of Drug-Taking Situations, (IDTS) oleh Annis dan Martin (1985); Coping Strategy Inventory (COPE) oleh Carver, Scheier dan Weintraub (1989); instrumen General Self Efficacy, (GSE) oleh Sherer dan Maddux (1982) dan Social Provisions Scale (SPS) oleh Russell dan Cutrona (1984). Dapatan kajian menunjukkan kecenderungan berulang dalam kalangan bekas penagih dadah berada pada tahap yang tinggi bagi lapan dimensi kecenderungan berulang. Ini bermakna responden yang terlibat dalam kajian ini berada dalam keadaan berisiko tinggi untuk berulang menagih dadah. Hasil analisis deskriptif terhadap pemboleh ubah daya tindak menghadapi masalah, daya tindak fokus emosi, daya tindak mengelak dan efikasi diri berada pada tahap yang sederhana. Begitu juga analisis bagi pemboleh ubah sokongan keluarga, sokongan rakan-rakan dan sokongan masyarakat turut berada pada tahap yang sederhana. Seterusnya, analisis kolerasi bagi pemboleh ubah daya tindak menghadapi masalah, daya tindak fokus emosi dan daya tindak mengelak, efikasi diri, sokongan keluarga, sokongan rakan-rakan dan sokongan masyarakat menunjukkan hubungan signifikan yang negatif dengan kecenderungan berulang di mana kekuatan hubungan adalah antara r=-.30 hingga r=-.70. Kajian juga mendapati enam pemboleh ubah peramal didapati menyumbang kepada peramal kecenderungan berulang dan menunjukkan regresi yang tinggi iaitu (R2 = .854), [F (6, 235) = 229.72, p<0.05] di mana sebanyak 85.4% varian menyumbang kepada kecenderungan berulang. Pemboleh ubah sokongan keluarga adalah peramal yang paling utama menyumbang kepada kecenderungan berulang diikuti dengan daya tindak fokus emosi, daya tindak menghadapi masalah, sokongan rakan, efikasi diri dan daya tindak mengelak. Hasil kajian juga mendapati efikasi diri secara signifikan merupakan pengantara kepada hubungan daya tindak menghadapi masalah, daya tindak fokus emosi, daya tindak mengelak, sokongan keluarga, sokongan rakan-rakan dan sokongan masyarakat kerana wujud kesan tidak langsung yang signifikan. Ini bermakna ke semua pemboleh ubah menghasilkan kesan langsung dan kesan tidak langsung ke atas kecenderungan berulang melalui pemboleh ubah efikasi diri sebagai faktor pengantara. Oleh itu, hasil kajian ini menunjukkan faktor personal dan interpersonal sangat penting bagi mengurangkan masalah kecenderungan berulang dalam kalangan bekas penagih dadah yang telah tamat tempoh rawatan dan pemulihan. Dapatan ini selari dengan teori dan model yang menjadi kerangka kerja teoritikal kajian ini yang mana individu yang mempunyai daya tindak, efikasi diri dan sokongan sosial mampu bertahan apabila mereka menghadapi kekecewaan. Justeru, dalam usaha untuk memerangi masalah kecenderungan berulang, pihak kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsan dan Cure and Care Rehabilitation Centre seharusnya mengambil kira faktor yang telah dikenal pasti ini sebagai penyumbang utama kepada kecenderungan berulang dan menjadikannya sebagai garis panduan untuk memantapkan lagi strategi membasmi masalah berkenaan. Kajian masa hadapan dicadangkan agar menggunakan responden yang lebih meluas serta menggunakan kaedah kualitatif.